Sunday, 20 September 2015

Tiada guna untuk terus bersedih”- ADIRA

No comments
“Tiada guna untuk terus bersedih”- ADIRA
BAHAGIA yang diidamkan tidak kesampaian. Ikatan pertunangan yang terjalin antara penyanyi dan pelakon Adira dengan jejaka bernama Shahrul Nasrun terputus di tengah jalan. 
Bercakap soal hati, penyanyi asal Ranau, Sabah ini mengakui belum tiba masa untuk kembali bercinta lagi.
“Tidak dinafikan ada hamba-hamba Allah yang mahu mendekati saya. Namun rasanya belum tiba masa untuk saya bercinta semula. Saya menghormati keluarga bekas tunang dan tidak manis jika segera bercinta semula.
“Adalah lebih baik buat masa ini saya tidak terlalu memikirkan soal cinta. Saya juga lebih seronok memberikan tumpuan pada keluarga dan rasa lebih bebas tanpa sebarang ikatan istimewa.
“Saya tidak tahu bila akan bersedia untuk bercinta kembali. Namun buat masa sekarang memang saya tidak akan mencari cinta.
“Selepas putus tunang rasanya tiada guna untuk saya terus bersedih. Perlu move on untuk masa depan kerjaya serta kehidupan yang lebih baik.
“Kebetulan ketika hal putus tunang itu, berlakunya gempa bumi di Sabah dan saya pulang ke kampung bersama keluarga. Apabila duduk dekat dengan ibu, saya rasa lebih tenang dan menganggap ada perkara positif berlaku di sebalik semua kejadian,” cerita Adira
Mahu lebih disayangi
Adira bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-24 pada 19 September ini. Selepas meniti hidup sebagai anak seni selama lebih enam tahun dan kala usia semakin meningkat pasti Adira menyimpan hasrat yang cukup tinggi dalam kerjaya.
“Rasa tidak sabar untuk melangkah ke usia seterusnya dan dalam masa sama rasa takut kerana tidak tahu apa yang akan berlaku pada diri dan kerjaya saya nanti. Bolehkah saya capai apa yang diinginkan pada masa akan datang?
“Saya tidak banyak merancang dari sudut kerjaya kerana pihak pengurusan sudah ada rancangan terbaik untuk saya. Jadi apa yang boleh saya lakukan ialah sentiasa memperbaiki diri agar menjadi lebih baik.
“Saya juga berharap akan lebih disayangi keluarga dan juga orang sekeliling. Malah saya sendiri mahu memberikan lebih kasih sayang dan perhatian buat mereka,” ujar Adira yang dihubungi Mangga Online hari ini.
Di kala usia yang masih muda beliau sudah menempuhi pelbagai kontroversi sebagai anak seni. Selain kisah percintaan yang tidak kesampaian, Adira juga pernah dihambat cerita panas yang pelbagai termasuk dikatakan sombong dan punya hubungan sejenis.
“Selepas tamat persekolahan saya mula terjun ke dalam bidang seni. No turning back. Biarlah dilanda kontroversi sekali pun, saya perlu hadapi kerana telah memilih jalan ini. Saya juga banyak berkorban tidak meluangkan masa bersama keluarga.
“Jika ada cerita panas, saya hanya mendengar dan tidak terlalu melayan, apatah lagi melenting. Cukuplah ibu, keluarga dan peminat percaya apa yang saya buat. Kepercayaan dan sokongan mereka membuatkan saya bangkit bersemangat.
“Saya pernah rasa takut pada keluarga kerana bimbang akan hilang kepercayaan mereka sehinggakan saya tidak tahu mahu buat apa lagi. Saya banyak belajar daripada rakan-rakan Akademi Fantasia terdahulu tentang cabaran dan dugaan anak seni,” luah Adira lagi.
Terbaru Adira tampil dengan lagu ciptaan Edry Abdul Halim berjudul Kekasih Teragung Dunia. Sebelum ini beliau turut berkolaborasi dengan Stacy, Firman dan Faizul menerusi lagu Siapalah Kita sebagai tanda sokongan buat mangsa gempa bumi Sabah.
adira2
SAYANG  SABAH

No comments :

Post a Comment