SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan beliau tidak pernah menghalang mana-mana pihak yang menentangnya ketika menjadi Presiden Umno.
Mahathir dalam blognya berkata, beliau membiarkan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Musa Hitam, yang pada akhir 1980-an cuba bertanding merebut jawatan presiden dan timbalan presiden, berkempen melawannya.
Beliau berkata, tindakan yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekarang adalah tidak demokratik.
"Mereka berhajat menjatuhkan saya. (Tetapi) Saya tidak larang mereka berkempen di kalangan ahli Umno dan ahli Umno tidak dilarang oleh saya menghadiri kempen mereka.
"Bahagian-bahagian Umno menjemput mereka untuk merasmikan mesyuarat bahagian dan mereka berkempen semasa perasmian dan pada masa-masa lain," katanya.
Mahathir berkata, tindakan kerajaan hari ini yang mengugut bertindak terhadap rakyat dan melarang ahli Umno daripada mendengar syarahan politik menunjukkan ia tidak lagi demokratik.
Menurutnya, Najib kini berkelakuan seolah-olah kedudukannya sebagai presiden Umno sedang diancam.
SINAR HARIAN
No comments :
Post a Comment