Wednesday, 7 October 2015

Malaysia Tampilkan Aplikasi Industri Kreatif Pertama Pada MIPCOM 2015

No comments
KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Malaysia menampilkan kemunculan aplikasi digital industri kreatif pertamanya, 'Kr8tif Express', pada Program Komunikasi Pasaran Antarabangsa (MIPCOM) 2015 di Cannes, Perancis, pada Selasa.

Aplikasi itu diperkenalkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Dalam kenyataan Rabu, Finas berkata aplikasi digital pelbagai platform itu merupakan inisiatif untuk membawa maklumat terkini tentang filem cereka, televisyen, animasi, permainan, muzik, pelesenan dan penerbitan di samping wawasan industri kepada peserta tempatan serta antarabangsa.

"Tambahan pula, aplikasi ini dikhususkan untuk mengesan pertumbuhan industri kreatif Malaysia, membolehkan negara kekal berdaya saing di persada global, dan memberi maklumat terkini kepada pemegang kepentingan berkaitan pencapaian terbaharu Malaysia.

"Aplikasi ini akan turut memberi maklumat mutakhir kepada pembaca tentang berita kreatif Malaysia, subjek kreatif berwawasan, geran baharu, tawaran dan perjanjian produksi bersama," menurut Finas.

Menurut Finas, selain ruangan berita, aplikasi itu turut memaparkan liputan sepanjang hari semasa berlangsungnya festival dan acara kreatif membabitkan peserta tempatan dan antarabangsa, integrasi anak watan bagi perkongsian media sosial, wawancara eksklusif dengan peserta utama, tokoh terkemuka dan personaliti dalam bidang berkenaan.

Kenyataan itu menyebut aplikasi itu turut memaparkan ruangan khas berkaitan peluang pekerjaan untuk membantu siswazah serta bakat tempatan mencari pekerjaan dalam syarikat kreatif tempatan dan antarabangsaKr8tif Express boleh dimuat turun dengan percuma menerusi Apple App Store dan Android Google Play. Ia juga tersedia melalui laman web dan dihubungkan ke pelbagai media sosial seperti Facebook, Instagram, Linkedln, YouTube dan Twitter.

Kenyataan itu memetik Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari sebagai berkata aplikasi digital itu membolehkan Malaysia kekal berdaya saing dan memberi makluman harian berkaitan berita dan pencapaian industri kepada pemegang kepentingan.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Jailani menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian antara Lil' Critter Workshop, studio animasi Malaysia yang memenangi anugerah, dan Grafizix Co. Ltd, studio animasi terkemuka Korea Selatan, untuk menghasilkan animasi komedi 2D 'FrienZoo'.

Finas berkata menerusi perjanjian itu, Lil' Critter akan menyediakan produksi bersama, produksi animasi dan penggubahan 78 episod animasi bagi Grafizix bertajuk 'FrienZoo', yang akan disiarkan oleh Education Broadcasting System, Korea Selatan, pada penghujung 2016.

-- BERNAMA

No comments :

Post a Comment