Pengarah Urusan Karangkraf, Datuk Husamuddin Yaacub berkata, usaha KBS perlu mendapat sokongan dari bawah dan Sukan Kampung adalah sumbangan Karangkraf kepada penganjuran Hari Sukan Negara.
“Kita merasakan sukan itu satu perkara yang sangat penting. Jadi, apabila kerajaan telah mengadakan Sukan Negara, pada saya perkara ini perlu mendapat sokongan dari bawah juga. Sekurang-kurangnya, setiap kampung, daerah, negeri, pejabat, universiti ada sukannya masing-masing. Ini akan jadi satu momentum.
“Sukan Kampung adalah sumbangan Karangkraf. Walaupun bukan semua jabatan dari Karangkraf terlibat, namun ia satu permulaan yang baik di mana kita mahu menggalakkan orang bersukan,” katanya kepada Sinar Online.
Sukan Kampung di Karangkraf bakal melibatkan kira-kira 400 peserta dan juara bakal dinobatkan sebagai jaguh kampung.
Menurut Husamuddin, beliau berharap penganjuran sukan kampung itu akan memacu semangat daya saing dalam kalangan stafnya.
“Kita harap dengan semangat bersaing itu akan membuat staf lebih berdaya saing dan berdaya maju. Jadi, jika usaha kami ini boleh merebak, semua orang akan aktif.
“Malah sukan ini boleh buat kita bersemangat untuk bersaing secara sihat selain tubuh badan kita sihat kerana kita rasa orang Malaysia ini suka relaks sedikit, jadi, ini akan jadi permulaan dan sumbangan kita kepada negara untuk menuju ke arah negara yang betul-betul kompetitif,” katanya.Nama-nama pasukan dalam Sukan Kampung diambil sempena nama-nama kampung di seluruh Malaysia seperti Kampung Jawa, Kampung Pinang Sebatang, Kampung Batang Berjuntai, Kampung Telok Panglima Garang, Kampung Kodiang, Kampung Malin Kundang.
Sukan yang diadakan pula berunsurkan sukan-sukan tradisional seperti tarik upih, umpat ketupat cik pat, kukur kelapa kepit dan badang kampung.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika ditemui baru-baru ini menyatakan sokongan atas penganjuran sukan kampung dan berharap agar Kampung Jawa dinobatkan sebagai jaguh kampung.
“Usaha Karangkraf untuk menggabungkan sukan tradisional dengan nama-nama kampung di Malaysia sememangnya sangat-sangat kreatif dalam kita menyambut Hari Sukan Negara.
“Inilah yang kita harapkan apabila pihak swasta dan awam berganding bahu untuk berjalan seiring dalam mencapai agenda nasional.
“Dalam banyak-banyak nama kampung, saya jangkakan pasukan Kampung Jawa iaitu KJ akan menang. Terima kasih kepada Karangkraf kerana menyokong Hari Sukan Negara,” katanya.
SINAR HARIAN
No comments :
Post a Comment